
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 19 April (MalaysiaAktif) – Umat Islam di negeri ini diingatkan supaya sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti sekiranya timbul sebarang keraguan berkaitan ajaran agama bagi mengelakkan pengaruh doktrin menyeleweng.
Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Sri Aman Abang Azman Abang Mohamed berkata langkah itu penting bagi memastikan kesucian akidah berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) sentiasa terpelihara.
Beliau menjelaskan kesedaran tinggi dalam menilai sesuatu pemikiran amat diperlukan agar masyarakat tidak mudah terjerumus ke dalam dakyah yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
“Masyarakat perlu sentiasa berwaspada dan mendapatkan rujukan daripada pihak berautoriti sekiranya timbul keraguan berkaitan ajaran agama,” katanya semasa menyampaikan ceramah bertajuk ‘Menangani Ancaman Akidah dan Ajaran Sesat’ di Surau Wahdah Al-Ummah, Kampung Melayu, Tanah Baru Sri Aman pada Khamis lalu.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Program Lan Mantap Akidah 2026 yang dilaksanakan secara serentak di seluruh bahagian di Sarawak.
Inisiatif anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu bertujuan memperkukuh pegangan akidah umat Islam selain menjadi platform pendidikan agama berterusan kepada penduduk setempat.
Dalam sesi ceramah tersebut, Abang Azman memberi penekanan terhadap definisi ASWJ serta ciri-ciri ajaran sesat yang perlu dikenal pasti oleh masyarakat.
Beliau turut mendedahkan senarai ajaran yang telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa di Malaysia khususnya di Sarawak bagi meningkatkan tahap kewaspadaan awam.
-RJ-






