Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeMelakaViral

Foodbank: Rezeki Dikongsi Bersama

By 11 November 2016Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

JASIN, 11 Nov (Malaysiaaktif) – Tidak puas menghabiskan waktu malam dengan aktiviti kebajikan menyalurkan sumbangan kepada gelandangan bersama kumpulan sukarelawan, membuatkan pasangan muda Nur Fadzillah Ismail, 26, dan suaminya Muhammad Zahiruddin Mohd Yusoff, 25, mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.

Pasangan yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor ini baru sahaja dua bulan menawarkan khidmat foodbank (bank makanan) kepada orang awam dan meletakkannya di outlet perniagaan mereka yang keempat di Pasaraya Mydin, di sini.

“Kami tidak menetapkan satu-satu jenis makanan untuk disumbangkan, kadang-kadang berubah mengikut keperluan dan bajet kami. Kami berpegang kepada rezeki dikongsi bersama dan membantu setakat mana yang kami mampu,” ujar Nur Fadzillah.

4

Iklan yang dibuat oleh pasangan ini bagi mempromosikan foodbank kepada mereka yang memerlukan.

Tinjauan Malaysiaaktif petang tadi, mereka telah menyediakan sebanyak 100 pek beras seberat satu kilogram dan 300 pek roti berperisa jagung untuk pelanggan atau orang ramai yang lalu di hadapan kedainya.

“Kepuasan bila bergerak solo ialah saya dapat memberikan sumbangan tersebut dengan tangan sendiri. Walaupun sumbangan tersebut mungkin tidak seberapa tetapi seronok melihat orang gembira ,”katanya.

Menurutnya, mereka tidak pernah menerima sumbangan tambahan daripada sesiapa dan peruntukan yang dikeluarkan adalah 100 peratus daripada simpanan sendiri.

“Namun kami mengalu-alukan jika ada sesiapa yang berniat untuk turut serta membuat kebajikan, kami sediakan tempat dan boleh letak sahaja makanan di sini. Apabila melihat respons yang diterima, kami sentiasa bersemangat untuk buat lagi,” ujarnya penuh semangat.

Jelasnya, mereka tidak meletakkan golongan sasaran sebagai penerima sumbangan mereka kerana niat mereka hendak membantu sesiapa yang memerlukan.

“Sebelum ini dalam tempoh tidak sampai sejam, barangan yang disumbangkan habis. Seronok melihat respons mereka dan adakalanya mereka mendoakan kesejahteraan kami,” ujar Nur Fadzillah.

Katanya lagi, mereka menyasarkan untuk menyediakan sumbangan seminggu sekali namun mungkin berbeza dari segi skala nilai, sama ada kecil atau besar.

Dalam pada itu, kelihatan seorang pengawal keselamatan, Vaneja Perumal, 56, turut singgah ke outlet tersebut lalu mengambil sebungkus beras dan empat bungkus roti.

2

Vaneja Perumal – Foodbank ini merupakan rezeki tambahan untuk saya dan rakan-rakan.

“Saya memang sudah biasa ambil makanan di sini setiap kali mereka tawarkan makanan. Saya kerja 11 jam di sini mencari rezeki. Bila ada yang tawarkan beras sebegini, ini kira rezeki tambahan pada saya. Saya ambil lebih roti ini untuk dibahagikan dengan kawan-kawan di dalam,” katanya.

Tambahnya, seronok apabila ramai golongan muda yang mencontohi sikap mulia pasangan muda ini dengan memberikan sumbangan bagi meringankan beban perbelanjaan harian kerana terdapat ramai orang yang memerlukan.

Sementara itu, seorang pengunjung pasar raya yang ditemui, Rosilawati Ahmad Khalid, 44 yang berasal dari Ayer Hitam turut mengakui bahawa foodbank ini memang merupakan satu idea yang baik untuk membuat aktiviti amal dan sesuai untuk sesiapa yang ingin membuat bayaran fidyah.

1

Rosilawati (kanan) – Foodbank ini merupakan satu idea yang bagus juga untuk mereka yang ingin membayar fidyah.

“Adakalanya kita tidak tahu di mana nak cari tempat untuk mengagihkan beras untuk membayar fidyah. Apabila tahu ada tempat yang menawarkan sesuatu seperti ini, saya juga mungkin akan turut serta memberi sumbangan suatu hari nanti,” katanya.

 

-DZ

Tinggalkan komen anda