
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 22 April (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua anggota Jemaah Menteri supaya memastikan langkah penjimatan bahan bakar dilaksanakan secara menyeluruh.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata langkah tersebut perlu turut melibatkan agensi di bawah seliaan masing-masing dan bukan hanya sekadar di peringkat kementerian dan jabatan.
“…termasuk dengan melaksana lebih banyak mesyuarat secara dalam talian, yakni mengurangkan mesyuarat secara bersemuka, mengurangkan program dan perjalanan ke luar negara, serta mengutamakan premis agensi atau kerajaan bagi pelaksanaan bengkel dan program-program latihan,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata demikian pada sidang media mingguan, di sini hari ini.
Fahmi berkata perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang membincangkan keputusan dibuat oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Mesyuarat MTEN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri semalam memfokuskan langkah strategik dalam menangani krisis bekalan global bagi menjamin kestabilan rantaian bekalan dan memperkukuh ketahanan ekonomi domestik.
Sementara itu, Fahmi berkata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut memaklumkan bahawa pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam menunjukkan perkembangan positif.
“Setakat hari ini, jumlah penjawat awam yang mendaftar di bawah program BDR telah mencecah 155,000 orang.
“Sejak 15 April sehingga semalam, dianggarkan penjimatan yang telah berjaya dilakukan berjumlah 334,000 liter minyak, bersamaan dengan penjimatan RM678,000,” katanya.
Menurut beliau lagi, KSN juga diminta mendapatkan maklumat daripada sektor swasta mengenai pelaksanaan BDR bagi menilai penjimatan secara menyeluruh di peringkat nasional.
-FN





