
Laporan/foto: Syahrulizan Madian / Helmie Ekni (Daro)
DARO, 22 April (MalaysiaAktif) – Amalan turun-temurun dalam memanfaatkan sumber alam terus dipertahankan apabila tiga generasi di Kampung Saai di sini menjadikan buah nipah sebagai produk hiliran bernilai tinggi melalui penghasilan air sadap.
Minuman tradisional yang dihasilkan daripada buah nipah itu kini semakin digemari kerana rasanya yang unik serta menyegarkan.
Pengusaha air sadap Ramzi Hamdan, 70, berkata beliau mewarisi kemahiran memproses minuman tersebut daripada bapanya sejak awal tahun 1980-an sebelum legasi itu kini diteruskan oleh generasi ketiga.
Beliau menjelaskan proses penghasilan air sadap memerlukan ketelitian tinggi bermula daripada pemilihan buah nipah yang matang bagi memastikan kualiti serta ketahanan minuman.

Ramzi ketika menceritakan proses penghasilan air sadap nipah yang memerlukan ketelitian tinggi bagi memastikan kualiti dan rasa terbaik.
“Pemilihan buah yang sesuai biasanya dilakukan selepas kira-kira tiga bulan berbunga bagi memastikan air yang dihasilkan manis dan berkualiti tinggi,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.
Ramzi memberitahu kerja mendapatkan buah nipah lazimnya dilakukan pada waktu awal pagi atau lewat petang bagi mengekalkan kualiti air terbaik sebelum proses memasak dimulakan.
Beliau menjelaskan proses mendidihkan air nipah bagi menghasilkan air sadap yang manis secara semula jadi pula mengambil masa antara empat hingga lima jam.
Ramzi berkata air sadap tersebut mampu bertahan sehingga enam bulan jika disimpan dalam suhu sejuk beku tanpa menjejaskan kualiti serta rasanya.
Beliau turut menghargai sokongan kerajaan melalui Jabatan Pertanian yang menyediakan bantuan peralatan serta khidmat nasihat bagi memastikan kelangsungan perusahaan tradisional tersebut.
Usaha keluarga ini membuktikan warisan berasaskan sumber alam bukan sahaja dapat dipelihara malah mampu menjadi sumber ekonomi mampan jika diusahakan secara konsisten oleh masyarakat setempat.
-RJ-





