Skip to main content
Berita TempatanSarawak

SK Abang Ali Sibu Lambang Warisan Pendidikan, Identiti Komuniti Setempat

By 24 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Norhasmin (Sibu)

SIBU, 24 April (MalaysiaAktif) — Di tengah kepesatan pembangunan bandar Sibu, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali berdiri utuh sebagai simbol warisan pendidikan yang membentuk identiti komuniti Melayu dan Melanau sejak lebih satu abad lalu.

Ditubuhkan hasil visi tokoh pendidikan tempatan, Abang Ali Abizakaria Abang Ahmad pada era 1890-an, sekolah ini bermula secara sederhana di rumah kampung dan surau dengan penekanan kepada literasi asas serta pendidikan agama, sebelum berkembang menjadi institusi pendidikan tersusun.

Perjalanan panjang SK Abang Ali merentasi pelbagai era termasuk pemerintahan Brooke, penjajahan Jepun dan pasca kemerdekaan telah membentuk jati diri sekolah ini sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang kekal relevan hingga kini.

Sekolah ini turut dikenali sebagai ‘kilang’ melahirkan tokoh berpengaruh antaranya Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelima, Tun Datuk Patinggi Ahmad Zaidi Adruce Muhammed Noor, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim serta ahli perniagaan, Tan Sri Bustari Yusuf.

Guru Besar SK Abang Ali, Abang Khadari Abang Bolhassan berkata sebagai alumni yang pernah menuntut di sekolah itu sekitar tahun 1976 hingga 1981, beliau menyaksikan sendiri perubahan besar yang dilalui institusi tersebut.

“Sebelum ini hanya terdapat tiga blok bangunan, namun kini sekolah ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 24 bilik darjah, dua prasekolah, bilik sains, makmal komputer serta blok pentadbiran baharu yang lengkap dengan teknologi terkini,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Menurut beliau, perubahan turut melibatkan aspek kemudahan akses apabila pintu pagar utama kini menghadap Jalan Awang Ramli Amit bagi memudahkan urusan ibu bapa.

Pada masa sama, beliau menegaskan usaha mengekalkan warisan sekolah sentiasa menjadi keutamaan walaupun berdepan arus pemodenan.

“SK Abang Ali bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi medan membentuk jati diri dan kesinambungan warisan komuniti yang perlu dipelihara oleh generasi hari ini,” katanya.

Terletak di lokasi strategik di tengah bandar, sekolah ini menampilkan gabungan unik antara seni bina berunsur sejarah dengan kemudahan pendidikan abad ke-21, hasil sokongan berterusan pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni.

Walaupun pelbagai kemajuan dicapai, pihak sekolah masih menunggu peruntukan tambahan bagi menambah baik kemudahan sedia ada termasuk pembinaan kantin dan surau baharu.

-FN

Tinggalkan komen anda