
Laporan/Foto: Sumardi Sugiman (Limbang)
LIMBANG, 24 April (MalaysiaAktif) — Bahagian Limbang dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran jelajah Agrofest 2026 peringkat Bahagian, sekali gus menjadi pemangkin kepada usaha memperkasa sektor pertanian sebagai enjin ekonomi Sarawak.
Program empat hari bermula semalam hingga Ahad ini berlangsung di pekarangan Lot 777, Bandar Limbang, menghimpunkan pelbagai pengisian berteraskan inovasi dan pembangunan agro.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi ketika menyempurnakan program itu hari ini berkata penganjuran Agrofest membuka ruang kepada peserta untuk menimba ilmu serta meneroka teknologi pertanian terkini.
“Melalui penganjuran program Agrofest ini, para peserta bukan sahaja mendapat manfaat daripada ceramah pertanian, malah turut berpeluang menyaksikan pameran produk serta maklumat terkini berkaitan teknologi pertanian dan perkhidmatan yang dipamerkan sepanjang Agrofest ini berlangsung,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sektor pertanian kekal sebagai tunjang penting dalam memacu pembangunan ekonomi negeri.
“Di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, sektor ini telah dikenal pasti sebagai salah satu enjin ekonomi utama bagi menjana pertumbuhan yang mampan dan inklusif.
“Sektor ini menyokong ekosistem rantaian bekalan yang komprehensif bermula daripada pengeluaran di ladang, perkhidmatan logistik, pemprosesan hiliran sehingga kepada aktiviti pemborongan dan eksport,” katanya.
Menurutnya, kementerian akan terus komited dalam memperkukuh sektor pertanian demi masa depan lebih makmur kepada rakyat Sarawak.
Dalam pada itu, Sarawak Agrofest 2026 peringkat negeri pula dijadualkan berlangsung di Bintulu dari 25 September hingga 4 Oktober ini.
-RJ-





