
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 24 April (MalaysiaAktif) – Penganjuran Pesta Benak Sri Aman akan terus diperkasa sebagai produk pelancongan utama Sarawak bagi menarik lebih ramai pengunjung luar sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata usaha memperkukuh daya tarikan pesta ikonik itu perlu ditekankan menerusi perancangan aktiviti yang lebih strategik.
“Kehadiran pengunjung luar amat penting dalam memperkenalkan keunikan fenomena benak sebagai salah satu produk pelancongan unggul,” katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) pada hari ini.
Menurut Francis, peningkatan profil acara tersebut akan membantu mempromosikan identiti pelancongan tempatan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata, kerajaan Sarawak komited menaik taraf infrastruktur sokongan termasuk jaringan jalan raya bagi memastikan kelancaran trafik pada masa hadapan.
“Penelitian terhadap langkah penambahbaikan sedang dijalankan merangkumi aspek teknikal dan penyelarasan gerak kerja antara agensi bagi memastikan kejayaan penganjuran akan datang,” katanya.
Francis turut menyarankan agar jawatankuasa penganjur menyuntik elemen inovasi dalam pengisian program agar kekal relevan dengan trend pelancongan semasa tanpa mengetepikan nilai warisan tempatan.
Beliau menegaskan bahawa keberkesanan penganjuran diukur melalui impak ekonomi langsung kepada komuniti peniaga, pengusaha inap desa dan sektor perkhidmatan di Bahagian Sri Aman.
Pesta Benak merupakan antara acara tahunan terbesar dalam kalendar pelancongan Sarawak yang memaparkan fenomena unik ombak besar di Sungai Batang Lupar.
-RJ-





