
Laporan/foto: Siti Faridah/Mohd Zaki (Bintulu)
BINTULU, 26 April (MalaysiaAktif) – Kontinjen tuan rumah mendominasi hari pertama acara bola keranjang Special Olympics Malaysia National Games Sarawak (SOMNG) dengan merangkul dua pingat emas, kelmarin.
Kejohanan yang berlangsung di Stadium Bola Keranjang Bintulu itu menyaksikan persaingan sengit melalui format 3×3 Tradisional melibatkan atlet dari seluruh negara.
Saingan hari pertama mempertandingkan tiga kategori utama iaitu 3×3 Tradisional Lelaki bagi peringkat umur 13 hingga 17 tahun, 18 tahun ke atas serta kategori perempuan 18 tahun ke atas.
Penolong Jurulatih pasukan bola keranjang Sarawak, Kiing Siaw Mei melahirkan rasa bangga terhadap prestasi konsisten dan semangat juang yang ditunjukkan oleh semua atlet.
“Atlet dari Sarawak telah memberikan kerjasama serta mempamerkan semangat juang yang sangat tinggi di atas gelanggang,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan, di sini kelmarin.
Menurut Kiing, dedikasi tinggi yang dipamerkan oleh barisan pemain akhirnya membuahkan hasil kemenangan positif pada hari pembukaan tersebut.
Kecemerlangan aksi di laman sendiri meletakkan Sarawak di kedudukan teratas carta dengan kutipan keseluruhan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.
Sementara itu, kontinjen Kedah menamatkan cabaran hari pertama acara berkenaan dengan membawa pulang satu pingat gangsa.
-RJ-





