
Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim (Pendang)/AADK Daerah Pendang
PENDANG, 28 April (MalaysiaAktif) – Kelompok penggerak komuniti yang lebih peka dan responsif terhadap ancaman dalam dadah masyarakat menjadi dasar kepada pelaksanaan Program Gerakan Pemerkasaan Rakyat (GEGAR) oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Pendang.
Ketua Pegawai AADK Daerah Pendang, Zainal Abidin Ismail berkata program pada hari ini itu bertujuan meningkatkan semangat serta memperkasakan peranan pemimpin komuniti, badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan sukarelawan dalam menangani masalah dadah di peringkat komuniti.
“Program ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran peserta terhadap isu serta bahaya dadah, khususnya dalam memahami kesan buruk penyalahgunaan dadah dan bahan bukan sahaja kepada individu, malah kepada keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhan.
“Melalui pendedahan, perkongsian maklumat serta perbincangan yang dijalankan dalam program ini, para peserta disasar dapat menjadi agen penyampai maklumat yang berkesan di peringkat komuniti masing-masing,” katanya pada program berkenaan yang diadakan di Dewan Melur, Pejabat Kesihatan Daerah Pendang di sini.
Seramai 40 orang peserta terdiri daripada antaranya kakitangan jabatan kerajaan, Jawatankuasa (JK) Pemulihan Dadah Daerah, Sukarelawan Anti Dadah (SKUAD) AADK, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) daerah Pendang dan wakil komuniti masyarakat Siam mengambil bahagian dalam program berkenaan.
-AA-





