
Laporan/foto: Nurhawa Baizura (Beaufort)
BEAUFORT, 28 April (MalaysiaAktif) – Berpegang kepada prinsip kesungguhan, seorang usahawan tempatan berjaya mengembangkan perniagaan kek yang bermula dari rumah sehingga memiliki tiga cawangan fizikal di sekitar daerah ini.
Nor Haidah Matli, 38, memulakan langkah dalam bidang kulinari ketika pandemik COVID-19 dengan melakukan perkhidmatan penghantaran secara tunai (COD) bagi memastikan kelangsungan sumber pendapatan.
Menurut Haidah, fasa awal perniagaannya menuntut kecekalan tinggi termasuk melakukan penghantaran ke luar daerah walaupun berdepan pelbagai cabaran fizikal ketika itu.
“Pengalaman melakukan penghantaran sendiri sehingga ke Kuala Penyu merupakan antara kenangan yang mendewasakan saya dalam memahami selok-belok pasaran tempatan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di sini, semalam.

Nor Haidah (tiga kanan) bersama sebahagian pekerja yang terdiri daripada anak muda tempatan.
Beliau menjelaskan bahawa pembukaan cawangan terbaharu Haidah Sweet Bakery di One Beaufort Commercial Centre (1BCC) merupakan kesinambungan sambutan positif pelanggan terhadap produk yang dihasilkan.
Kejayaan mengoperasikan tiga cawangan termasuk di Pekan Papar dan Pekan Bongawan itu turut membuka ruang kepada penyediaan peluang pekerjaan bagi komuniti setempat.
“Bagi saya, perkembangan perniagaan ini bukan sekadar mengejar keuntungan tetapi menjadi tanggungjawab sosial dalam membantu penduduk tempatan melalui tawaran pekerjaan,” katanya.
Haidah turut menggalakkan golongan muda agar berani mencuba serta memanfaatkan pelbagai bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Peladang), Majlis Amanah Raya (MARA) dan RISDA dalam membantu usahawan kecil menstrukturkan perniagaan ke tahap yang lebih profesional.
Beliau menyifatkan bimbingan yang diterima daripada agensi tersebut sebagai pemangkin utama dalam memperkasakan kemahiran pengurusan serta daya saing usahawan luar bandar.
Bagi perancangan masa depan, Haidah menyasarkan untuk memiliki kilang pemprosesan sendiri bagi memenuhi kapasiti pengeluaran yang lebih sistematik dan efisien.
-RJ-





