Skip to main content
Berita TempatanSabah

Hubungan Baik Tripartit Tingkat Produktiviti Negara

By 28 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Mohd Sazwan Roslan (Sandakan)

SANDAKAN, 28 April (MalaysiaAktif) – Hubungan baik tripartit iaitu antara kerajaan, majikan dan pekerja mampu menyumbang kepada peningkatan produktiviti negara khususnya ketika berdepan krisis bekalan global.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Sutekno Ahmad Belon berkata kementerian sentiasa mengutamakan jalinan kerjasama rapat atas dasar kepercayaan terhadap impak positif perkara itu kepada kemajuan ekonomi negara.

“Kita mahu kesemua pihak ini membantu antara satu sama lain bagi mewujudkan keharmonian industri yang lebih mampan,” katanya ketika merasmikan penutupan Program Bicara dan Perkongsian Menelusuri 1 Mei 2026: Pekerja KESUMA Bangsa di sini, semalam.

Program berkenaan menjadi medan progresif bagi menyampaikan inisiatif kerajaan menerusi KESUMA selain antara sebagai peluang mengukuhkan hubungan tripartit antara kerajaan, majikan dan pekerja.

Sutekno turut menggalakkan pihak kesatuan dan organisasi untuk melaksanakan sambutan Hari Pekerja di peringkat masing-masing bagi meraikan integrasi majikan serta pekerja.

“Sambutan ini ditujukan khusus buat majikan meraikan pekerja dalam pelbagai bentuk aktiviti yang menyokong semangat Hari Pekerja,” jelasnya.

Beliau memaklumkan Sandakan merupakan destinasi terakhir siri jelajah KESUMA di enam zon utama seluruh negara bersempena sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil, Jumaat (1 Mei) ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda