
Laporan/foto: Yusoffirman (Temerloh)/ORACO Pahang
TEMERLOH, 29 April (MalaysiaAktif) – Seramai 60 orang pelajar Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari seluruh Negeri Pahang menerima sijil penghargaan serta insentif wang tunai sebanyak RM100 bagi setiap subjek A.
Pengiktirafan daripada kerajaan negeri melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO) itu turut menyaksikan mereka menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM200 seorang daripada Yayasan Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) negeri Pahang telah memainkan peranan yang sangat besar dalam memperkasa pendidikan komuniti itu melalui pelbagai jenis bantuan termasuklah dalam aspek kebajikan dan kemudahan.
“Usaha berterusan JAKOA misalnya melalui penyediaan bas sekolah, para pelajar yang mendiami perkampungan Orang Asli yang dikira jauh dapat ke sekolah. Bukan sahaja bantuan dari segi pengangkutan, para pelajar juga turut diberikan kelengkapan untuk ke sekolah seperti baju dan seluar sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Pelajar Orang Asli Negeri Pahang Tahun 2025 di Dewan Hubabah, Kampung Bukit Seding, Dato’ Shariff Ahmad, Kerdau, di sini kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), Datuk Muhammad Olian Abdullah serta Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Pahang, Adam Zaidi Mahidin.
-AA-





