
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Kuala Pilah)/Unit Media Tengku Zamrah
KUALA PILAH, 29 April (MalaysiaAktif) – Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah menerima blok tambahan baharu iaitu Blok B yang bernilai hampir RM153.4 juta di atas tanah seluas 4.18 ekar.
Timbalan Menteri Kerja Raya Ahmad Maslan berkata Blok B HTAN direka dengan keupayaan berfungsi sebagai hospital penyakit berjangkit yang melibatkan pengasingan zon klinikal, kawalan pergerakan pesakit dan kakitangan serta kemudahan sokongan bagi membolehkan pengurusan kes dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat.
“Blok tambahan HTAN ini dilengkapi dengan enam bilik bedah yang menggunakan Modular Operation Theatre System (MOT) panel bagi memastikan persekitaran dewan bedah yang lebih selamat dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Blok Tambahan Hospital Tuanku Ampuan Najihah kepada Kementerian Kesihatan (KKM), di sini semalam.
Penyerahan tersebut dibuat Ahmad Maslan kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Sementara itu, Dzulkefly berkata blok tambahan enam tingkat itu menempatkan enam bilik bedah, 132 buah katil wad biasa, 12 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang melengkapkan keseluruhan kapasiti HTAN kepada 458 katil.
“Lebih membanggakan, Blok B ini juga menempatkan Jabatan Kecemasan dan Trauma pertama di Malaysia yang direka bentuk secara menyeluruh dengan fasiliti isolatif bertekanan negatif.
“Ini merupakan kesinambungan rawatan dari jabatan kecemasan ke wad isolasi dapat dilakukan melalui lif khas,” katanya.
Menurutnya, perkhidmatan kepakaran seperti Perubatan Sukan, Pink Ribbon Clinic untuk kanser payudara, pembedahan kolorektal, urologi serta pembedahan plastik dan rekonstruktif dapat dilakukan di fasiliti baharu ini.
-RI





