
Laporan/foto: Yusoffirman (Temerloh)/MPT
TEMERLOH, 29 April (MalaysiaAktif) – Program Pahang Berbusana 2.0 tahun ini lebih meriah dengan pelbagai acara tambahan serta kehadiran ribuan pengunjung, selain menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan silat, dikir barat, jualan makanan tradisional, sukan rakyat serta festival masakan ikan patin.
Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata program kebudayaan sedemikian juga dapat meneruskan legasi budaya dan warisan tempatan kepada golongan muda di negeri Pahang.
“Ia bukan sahaja mengembalikan nostalgia, malah memberi peluang kepada generasi muda mengenali semula lagu-lagu negeri, seni warisan dan sejarah budaya yang semakin dilupakan,” katanya ketika merasmikan Program Gemacitra Pahang 1st dan Pahang Berbusana 2.0 di Temerloh, pada Ahad.
Tambah beliau, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta untuk pelaksanaan program di kesemua 14 Parlimen di Pahang, dengan Parlimen Temerloh sebagai lokasi pembuka tirai.
Penganjuran program ini bukan hanya menampilkan persembahan seni, bahkan berperanan sebagai platform mengangkat martabat budaya, seni dan warisan negeri Pahang sebagai tunjang identiti masyarakat.
-AA-





