
Laporan/foto: Ejam Hasnezam/Nurhayati Abdul Halim (Matu)
MATU, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Peringkat Negeri Sarawak 2026 menjadi platform utama dalam membentuk jati diri serta kepimpinan pelajar.
Program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak itu menghimpunkan seramai 215 pelajar dan 64 guru pengiring daripada 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kemahiran kelangsungan hidup serta disiplin yang dibina sepanjang program tersebut merupakan panduan berharga bagi masa depan peserta.
“Komitmen yang ditonjolkan ahli KRS dan TKRS adalah cerminan kepada bakal pewaris tampuk kepimpinan negara kelak,” katanya ketika merasmikan penutupan program tersebut di sini semalam.
Menurut Ahmad Johnie, penganjuran aktiviti seumpama itu mampu memperkukuh sahsiah pelajar secara holistik selaras dengan aspirasi pembangunan modal insan negara.
Program yang dikelolakan oleh PPD Daro tersebut melibatkan penyertaan daripada 12 sekolah menengah dan 22 sekolah rendah di seluruh Sarawak.
Sepanjang perkhemahan, peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti kemahiran insaniah termasuk pertandingan rawatan bantu mula dan teknik ikatan tali temali.
Beliau menjelaskan bahawa modul pembinaan gajet perkhemahan turut dilaksanakan bagi meningkatkan kebolehan berdikari serta semangat kerja berpasukan dalam kalangan murid.
-RJ-





