
Oleh : Malini Md Yunos
PORT DICKSON, 15 Nov (Malaysiaaktif) – Penyeludupan pokok palma seperti kurma ke Malaysia tanpa kuarantin menjadi punca merebaknya Kumbang Merah Palma atau “Red Palm Weevil” (RPW) di negara ini. Demikian dimaklumkan Pengarah Pertanian Negeri Sembilan, Mustafa Omar dalam Kempen Kesedaran Mencegah Kumbang Merah Palma (RPW) di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang hari ini.
Menurut Mustafa, RPW ialah sejenis perosak tanaman baru yang berbahaya telah dikesan di bahagian utara dan pantai timur semenanjung antaranya Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Dia berkata, kemasukan perosak eksotik dalam negara samada secara sengaja atau tidak sengaja perlu diteliti dan diambil serius supaya tanaman negara tidak musnah akibat serangan perosak berbahaya.
Sebanyak 34 perangkap telah dipasang di seluruh Negeri Sembilan namun tiada RPW berbahaya ditemui setakat ini di Negeri Sembilan Justeru Jabatan Pertanian mengambil langkah kawalan mencegah serangan RPW dengan mengadakan kempen seperti ini, ujarnya lagi.
Kumbang ini adalah perosak tanaman berbahaya yang boleh memusnahkan pokok palma seperti kelapa dan kelapa sawit. Ia juga sering dijumpai pada tanaman palma lain seperti salak, sagu, kurma dan pokok – pokok hiasan jenis palma, katanya lagi.
Ia tergolong dalam keluarga order coleopetra dipercayai berasal dari Asia dan sekarang ini dilaporkan menyerang tanaman di Afrika, Timur Tengah, Eropah dan Amerika Utara.
Mustafa berkata, sekiranya tidak di kawal segera, perosak tanaman palma ini, ia boleh menyebabkan kemusnahan hasil yang tinggi serta memerlukan kos kawalan yang besar bagi menghapuskannya.
Kempen yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian & Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Haji Hashim Rusdi ini lebih tertumpu kepada penerangan mengenai kaedah kawalan pembendungan dan penghapusan RPW ini.
– MRR