Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahNegeri SembilanViral

Hadiah Pertandingan Ceria Merdeka DiSarankan Naik

By 16 November 2016Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Oleh : Ramasamy Amas

 Bahau 15 Nov (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Negara, Hj Salim Mohd Shariff sudi menambah RM4000.00  menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM6000.00 hadiah wang tunai kepada Pemenang Pertandingan Ceria Merdeka kategori Anjung Komuniti 1Malaysia (K1M) ketika merasmikan majlis meraikan kemenangan anugerah Anjung Komuniti 1Malaysia Terbaik peringkat kebangsaan di Felda Palong 2 malam semalam.

Ini kerana menurut Salim, hadiah RM2000 bagi pemenang peringkat kebangsaan tidak sepadan dengan usaha dan kerja keras serta kos yang telah dikeluarkan dan dilakukan ahli K1M bagi mencapai kejayaan tersebut.

Tambah beliau lagi, usaha dan komitmen Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara adalah sangat dipuji tetapi Jabatan Penerangan Malaysia sebagai pengelola Program tersebut perlu mempunyai anjakan paradigma yang jitu bagi meningkatkan semangat serta menggalakkan penglibatan orang ramai untuk menyertai pertandingan ini.

Salim berharap, Jabatan Penerangan Malaysia mengkaji semula jumlah dan kadar anugerah dan wang tunai kepada Pemenang Pertandingan Ceria Merdeka Peringkat Kebangsaan ini.

Perkara yang sama juga turut diutarakan oleh Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Kawasan Jeram Padang, Datuk L.Manickam. Beliau berkata, “inisiatif untuk mengadakan pertandingan ini adalah sangat baik. Namun, adat bertanding perlulah ada Johan hingga tempat ketiga. Apa yang saya difahamkan, pertandingan ini tiada tempat untuk Naib Johan dan Ketiga. Jabatan perlu kaji semula dari segi pemberian hadiah kepada pemenang supaya pertandingan ini mendapat sambutan”.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penerangan yang mengadakan program sambutan bulan kemerdekaan setiap tahun dan menyarankan agar penglibatan generasi muda perlu dipertingkatkan.

Turut hadir sama ialah Exco Kerajaan Negeri Sembilan merangkap ADUN Serting Datuk Haji Shamsulkahar bin Md Deli, Pengarah Penerangan Negeri Sembilan, Haji Sabaruddin bin Yeop Hamzah, Pengarah JASA Negeri Sembilan serta Pegawai Penerangan Daerah Jempol.

-MRR

Tinggalkan komen anda