
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 8 Mei (MalaysiaAktif) – Hospital Sri Aman II dan Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman memperkukuh hubungan strategik menerusi sesi libat urus khas bagi memantapkan prosedur pengurusan jenazah di daerah ini.
Pengarah Hospital Sri Aman II Hazwani Mohd Yusop berkata kolaborasi tersebut penting dalam memastikan kebajikan waris terpelihara selain pengurusan jenazah dapat dilaksanakan secara tersusun mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Perkar ini bukan sahaja memudahkan urusan teknikal di unit forensik, malah membantu memastikan fardu kifayah disempurnakan dengan lebih lancar serta penuh penghormatan.
“Sesi libat urus ini adalah satu langkah proaktif yang sangat kita hargai,” katanya.
Beliau berkata pihak hospital turut menitikberatkan aspek penyelarasan operasi melalui carta aliran kerja sistematik melibatkan proses pengesahan kematian, dokumentasi, pengurusan forensik serta prosedur keselamatan.
“Setiap pengendalian jenazah perlu mematuhi SOP agensi kesihatan bagi memastikan aspek keselamatan petugas, waris dan komuniti sentiasa terjamin,” katanya.
Hazwani menambah koordinasi yang jelas antara hospital dan pihak masjid dapat mengurangkan risiko salah faham atau kelewatan dalam proses pengurusan jenazah.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman Azmi Morshidi berkata pihak hospital merupakan rakan sinergi utama dalam mematuhi standard kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
-RJ-





