
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/JKR Sarawak
SRI AMAN, 10 Mei (MalaysiaAktif) – Persiapan akhir operasi penuh Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jelukong di jajaran Lebuhraya Pan Borneo kini giat dilaksanakan bagi memastikan kemudahan tersebut bersedia sepenuhnya menerima pengguna mulai 15 Mei ini.
Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memberi perhatian serius terhadap aspek kesiapsiagaan operasi termasuk kebersihan, keselamatan serta keselesaan pengguna sebelum kemudahan dibuka secara rasmi.
“JKR Sarawak mahu memastikan setiap kemudahan di R&R Jelukong berada pada tahap terbaik dan berfungsi dengan baik sebelum operasi penuh dimulakan,” katanya ketika mengadakan lawatan pemeriksaan persiapan operasi gerai makanan dan kedai serbaguna di R&R Jelukong, di sini semalam.
Cassidy menjelaskan kemudahan itu bukan sahaja menjadi lokasi persinggahan, malah berperanan sebagai pusat sokongan perjalanan yang selesa dan selamat kepada orang ramai.
Menurut Cassidy beberapa gerai makanan dan kedai serbaguna telah mula beroperasi secara fasa permulaan bagi memberi peluang kepada pengguna menikmati kemudahan serta membantu pengusaha menyesuaikan operasi mereka.
Beliau berkata kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan kawasan turut dipergiatkan melibatkan tandas awam, surau, kawasan parkir dan landskap persekitaran bagi memastikan tahap kebersihan terpelihara.
Dalam pada itu, Cassidy memaklumkan kawalan keselamatan di kawasan R&R berkenaan dipantau selama 24 jam bagi menjamin keselamatan pengguna serta memastikan kawasan sentiasa berada dalam keadaan teratur.
“Pembukaan R&R Jelukong dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna Lebuhraya Pan Borneo khususnya dari segi kemudahan rehat, makanan dan keperluan asas.
“JKR Sarawak komited memastikan pembangunan infrastruktur bukan sahaja lengkap dari segi fizikal, tetapi turut memenuhi aspek keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
-RJ-





