
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Polis Johor (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Polis menahan enam lelaki tempatan bersama pelbagai jenis dadah bernilai RN4.77 juta dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Johor Bahru pada 7 dan 8 Mei lepas.

Hasil saringan yang dijalankan mendapati kesemua suspek yang ditahan positif dadah dan juga mempunyai rekod jenayah lampau.
Pemangku Ketua Polis Johor Deputi Supritendan Hoo Chuan Huat, berkata dalam operasi pertama, pihaknya menahan seorang lelaki yang dipercayai ketua sindiket bersama empat lelaki berusia antara 27 hingga 50 tahun dalam operasi yang dijalankan di tiga lokasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada 7 Mei lepas.
“Serbuan yang dijalankan di lokasi pertama di Bandar Baru Permas Jaya telah menahan dua individu dan merampas dadah dipercayai jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) sebanyak 20.47 kilogram (kg), 14,800 biji pil erimin 5, 1.44 kg serbuk ekstasi, 1,055 biji pil ekstasi dan 146 gram (g) ketamin serta peralatan membungkus dadah.
“Dalam operasi kedua, seorang lelaki ditahan di Bandar Seri Alam tanpa penemuan sebarang dadah manakala serbuan ketiga di Permas Jaya pula, polis menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis ketamin seberat 4.40g,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPK) Johor, di sini semalam.

Turut dirampas empat kereta, sebuah motosikal serta wang tunai RM7,750, 308 dolar Singapura, dua bentuk cincin, sebentuk loket dan seutas rantai emas.
Sementara itu, Hoo berkata dalam operasi yang dijalankan pada 8 Mei lepas telah menahan seorang lelaki berusia 21 tahun disebuah rumahnya di Taman Perling dan suspek merupakan pengedar dadah secara bersendiri.
“Antara barangan yang dirampas adalah 23 botol plastik dan 21 katrij berisi 11.54 liter disyaki cecair ketamin, 3.61 kg serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 150g serbuk ekstasi, 40 biji pil ekstasi, 19.30g ketamin serta peralatan membungkus dadah dengan anggaran kesemuanya bernilai RM1.12 juta.
“Hasil saringan mendapati kesemua suspek yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin serta mempunyai rekod jenayah dan kesalahan lampau,” katanya.
Tambah beliau, suspek juga aktif membekal dan mengedar dadah di sekitar Johor Bahru dan kawasan lain.
Beliau berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 9 Mei dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-RI





