Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanPerak

Program CSR PUO Bukti TVET Nadi Komuniti

By 12 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Imanina(Perak)/Politeknik Ungku Omar

IPOH, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi program khidmat komuniti di Maahad Darus Salam, di sini sekali gus membuktikan peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai nadi pembangunan masyarakat.

Norman menyampaikan sumbangan ikhlas daripada warga PUO berupa pakaian, barangan keperluan asas serta wang tunai kepada anak-anak yatim di Maahad Darus Salam.

Timbalan Pengarah Akademik PUO Norman Zamri, berkata keberhasilan program ini adalah bukti nyata tentang kelebihan pendidikan TVET yang melangkaui bilik kuliah.

“TVET bukan sekadar melahirkan tenaga kerja, tetapi merupakan ejen transformasi masyarakat.

“Melalui kemahiran hands-on (amali) seperti pemasangan solar dan pengimpalan yang dilakukan hari ini, kita dapat melihat bagaimana graduan TVET mampu memberi solusi teknikal secara langsung kepada permasalahan komuniti. Ini menjadikan masyarakat kita lebih mandiri dan tidak hanya bergantung kepada pihak luar,” katanya ketika berucap pada majlis penutup, di sini semalam.

Antara aktiviti CSR yang dilakukan termasuklah pemasangan lampu solar di sekitar kawasan mahad bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan penghuni Maahad Darus Salam.

Tambah Norman, program ini membuktikan bahawa TVET mampu memacu budaya kerja sukarela yang profesional seterusnya membantu mengurangkan kos penyelenggaraan bagi institusi komuniti seperti maahad.

Menerusi program ini, para pelajar PUO bukan sahaja turun padang untuk menyumbang tenaga, malah mengaplikasikan kemahiran teknikal yang dipelajari terus kepada komuniti.

Dalam pada itu, pihak Maahad Darus Salam turut menzahirkan penghargaan atas usaha murni ini dan berharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi merapatkan jurang antara institusi pendidikan tinggi serta masyarakat setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda