
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Berbekalkan disiplin kental sepanjang perkhidmatan dalam pasukan keselamatan, seorang pesara tentera kini berjaya mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar utama ternakan komersial.
Bekas Pegawai Waran 1, Razali Iji, 65, menguruskan ladang ternakan lembu, kambing dan ayam penelur yang semakin berkembang sejak diusahakan kira-kira sedekad lalu.
“Bidang penternakan menuntut komitmen tinggi dan pengurusan masa yang sangat teliti, malah saya melihat pengalaman dalam pasukan keselamatan sebagai asas yang membantu saya mengoperasikan ladang ini secara profesional,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif di ladangnya, di sini hari ini.
Razali berkata perusahaan yang bermula dengan 20 ekor lembu itu kini memiliki lebih 100 ekor ternakan secara keseluruhan.
“Setakat ini, sebanyak 70 ekor lembu telah ditempah awal oleh pelanggan bagi Hari Raya Aidiladha, merangkumi hampir 85 peratus daripada sasaran jualan tahun ini,” katanya.
Razali mengakui kenaikan harga dedak memberi kesan langsung kepada kos operasi ladang sehingga memerlukan pelarasan harga jualan.
“Harga daging lembu dinaikkan sebanyak RM2 sekilogram berbanding sebelum ini bagi menampung peningkatan kos input,” katanya.
Bagi pasaran korban, harga seekor lembu ditawarkan antara RM9,200 hingga RM10,000 mengikut saiz fizikal, manakala kambing dijual bermula RM1,000 seekor dan telur ayam RM16 setalam.
Razali memberitahu operasi ladang yang dibantu empat tenaga kerja itu diurus secara sistematik meliputi aspek pemakanan, sanitasi dan pemantauan kesihatan berkala.
Razali turut menggalakkan golongan belia dan pesara meneroka sektor penternakan kerana ia mampu menjana pendapatan stabil serta menjamin sekuriti makanan tempatan.
-RJ-





