Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

World Hearing Day 2026: Fokus Kesihatan Pendengaran Kanak-Kanak

By 13 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)/Facebook Hospital Teluk Intan

RUNGKUP, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Kesihatan pendengaran dalam kalangan generasi muda menjadi fokus utama sempena Sambutan World Hearing Day 2026 Peringkat Negeri Perak yang dijadual berlangsung di Dewan Besar Masjid Tuminah Hamidi, di sini Sabtu ini.

Bertemakan Dari Komuniti ke Bilik Darjah: Penjagaan Pendengaran untuk Semua Kanak-Kanak, program bertujuan meningkatkan kesedaran ibu bapa dan pendidik mengenai kepentingan pengesanan awal masalah pendengaran bagi mengelakkan gangguan terhadap pembelajaran kanak-kanak.

Menurut Pegawai Pemulihan Perubatan (Audiologi) Hospital Teluk Intan Nurul Farhana Badrul Ezan, program akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri Dato’ Sivanesan Achalingam.

“Penganjuran edisi tahun ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Hospital Teluk Intan, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Bagan Datuk serta Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Bagan Datuk.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong aspirasi Perak Sejahtera 2030, malah mendokong gagasan Malaysia MADANI dalam memperkasakan kesejahteraan sosial melalui akses kesihatan yang lebih inklusif,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Tambahnya, pelbagai pengisian menarik diatur bagi menarik kehadiran komuniti setempat antaranya saringan kesihatan dan pendengaran secara percuma, kempen derma darah, pameran agensi kerajaan serta Jualan Rahmah.

Justeru, orang ramai khususnya penduduk sekitar Bagan Datuk dan Teluk Intan dijemput hadir memeriahkan program yang akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Hospital Teluk Intan di jknperak.moh.gov.my/htintan atau ikuti perkembangan terkini menerusi media sosial rasmi Hospital Teluk Intan.

-AA-

Tinggalkan komen anda