Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Sejarah Kompas Masa Depan Negara – Raja Muda Perlis

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa sejarah merupakan teras jati diri serta kompas masa depan sesebuah bangsa dalam usaha membina negara bangsa yang harmoni dan progresif.

Titah Baginda, sejarah harus dihayati dengan penuh tanggungjawab demi membina negara bangsa yang harmoni dan progresif.

Baginda turut menyifatkan ketamadunan sebagai suatu roh dan negara bangsa pula adalah jasadnya dan kedua-duanya saling melengkapi.

“Negara bangsa tidak terbina dalam sehari tetapi melalui usaha berterusan yang melibatkan pendidikan, kefahaman bersama dan kesediaan menghormati perbezaan,” titah Baginda pada Majlis Perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis di Pauh Perlis, kelmarin.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akshah Khalil.

“Tema ‘Bersama Membina Negara Bangsa’ amat signifikan kerana sejarah bukan sekadar warisan lampau, malah menjadi instrumen penting dalam pembentukan masa depan negara.

Pada majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin turut merakamkan penghargaan kepada Arkib Negara Malaysia atas kejayaan menganjurkan konvensyen tersebut bersama Universiti Malaysia Perlis dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aron Ago Dagang, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Dato’ Noor Azman Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Dato’ Haslina Abdul Hamid.

-RI

Tinggalkan komen anda