Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Komuniti India Sungai Besar Sambut Baik Peruntukan MITRA RM150 Juta

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)

SUNGAI BESAR, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Keputusan kerajaan meningkatkan peruntukan untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) daripada RM100 juta kepada RM150 juta mendapat reaksi positif daripada Komuniti India di Sungai Besar.

Menurut Ketua Komuniti MADANI Pekan Sungai Besar, Paranthaman Rinagubal, keputusan tersebut menunjukkan kerajaan benar-benar mendengar suara dan keperluan masyarakat India di negara ini.

“Saya amat menghargai dan berterima kasih kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai peningkatan peruntukan MITRA kepada 150 juta tahun ini.

“Peruntukan ini bukan sekadar angka tetapi ia memberi harapan baharu khususnya dalam bidang pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan ekonomi, bantuan sosial, peluang keusahawanan kepada masyarakat India terutamanya golongan B40 dan anak muda,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Sungai Besar, di sini kelmarin.

Beliau berharap dana tersebut dapat disalurkan secara telus, efektif dan sampai terus sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Pada masa sama komuniti India juga perlu mengambil peluang ini untuk meningkatkan taraf kehidupan, memperkukuhkan pendidikan anak-anak serta memperluaskan penglibatan dalam sektor ekonomi dan teknologi,” katanya.

Paranthaman percaya di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, perhatian terhadap pembangunan masyarakat India akan diterus diperkasa demi memastikan semua kaum tidak tercicir dalam urusan pembangunan negara.

Sementara itu, peniaga putu mayam, Nagalingan Jairaman, 54, menyambut baik langkah kerajaan menambah peruntukan MITRA yang menyuntik semangat baharu buat komuniti itu.

Ujarnya, inisiatif tersebut diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan serta membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan taraf hidup mereka.

Pada 10 Mei lepas, Anwar mengumumkan dana MITRA dinaikkan kepada RM 150 juta berbanding RM100 juta sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan menilai keberkesanan pelbagai program MITRA, yang disasarkan kepada kelompok masyarakat India yang memerlukan bantuan khususnya dalam bidang pendidikan, latihan dan pembangunan sosioekonomi.

-AA-

Tinggalkan komen anda