Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kipas Rosak Jadi Perangkap Tikus Inovasi Theresa

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Janifer Stanis/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Putatan)

PUTATAN, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Kreativiti menggunakan bahan kitar semula membolehkan peniaga, Theresa Ajin muncul sebagai pemenang Pertandingan Inovasi Cipta Perangkap Tikus KIK Majlis Daerah Putatan.

Menurut Theresa, 65, idea menghasilkan perangkap tersebut tercetus selepas beliau melihat pelbagai jenis perangkap tikus di pasaran serta di media sosial termasuk YouTube, sebelum menghasilkan reka bentuk sendiri yang lebih praktikal dan menjimatkan kos.

“Saya cuba fikir bagaimana mahu menghasilkan perangkap yang lebih praktikal dan tidak memerlukan kos yang tinggi. Ada kipas rosak, kotak dan barangan yang sudah tidak digunakan lagi. Saya buat sedikit demi sedikit sambil berniaga,” katanya ketika ditemui sempena Program Kempen Membasmi Infestasi Tikus 2026 anjuran Majlis Daerah Putatan, hari ini.

Mengulas mengenai cara ciptaannya berfungsi, beliau berkata tikus yang memasuki perangkap itu sukar untuk keluar semula memandangkan ia menggunakan sistem satu hala.

“Kalau perangkap biasa, seekor masuk terus tertutup, tetapi yang ini boleh memerangkap beberapa ekor sekali gus,” katanya yang berniaga di Pasar Teluk Villa itu.

Theresa berkata perangkap yang mengambil masa kira-kira tiga hari untuk disiapkan menggunakan bahan kitar semula yang diperoleh dari rumah itu terbukti berkesan serta lebih ekonomik berbanding perangkap yang dijual di pasaran.

Menurutnya, selain membantu mengurangkan kos, penggunaan bahan terpakai turut mengurangkan pembaziran serta menggalakkan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang percaya sesiapa sahaja boleh mencuba idea itu kerana mudah untuk dihasilkan mahu program sedemikian diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan persekitaran komuniti sentiasa bersih, selamat dan bebas daripada ancaman penyakit.

-RJ-

Tinggalkan komen anda