
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Program Anak Sihat Generasi Hebat Peringkat Daerah Bandar Baharu yang berlangsung di pekarangan Pejabat KEMAS Parit Nibong, di sini semalam memberi pendedahan kepada ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan kanak-kanak sejak usia awal.
Program berkenaan menyasar untuk meningkatkan kesedaran berkaitan pemakanan sihat, kebersihan diri dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak.
Pegawai Kesihatan Daerah Bandar Baharu Dr. Rakesh Singh Sandhu Shankar Singh, berkata program tersebut merupakan satu inisiatif pendidikan kesihatan dan kesejahteraan yang memberi fokus kepada pembentukan generasi sihat melalui pemakanan seimbang serta penjagaan kesihatan yang baik.
Menurut beliau, pendekatan seperti konsep ‘Suku Suku Separuh’ perlu diterapkan sejak kecil bagi membantu kanak-kanak mengamalkan pemakanan yang lebih sihat dan seimbang.
Dr. Rakesh turut menekankan kepentingan vaksinasi dalam melindungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit berjangkit serta menolak dakwaan tidak benar yang mengaitkan vaksin dengan autisme.
“Maklumat berkaitan kesihatan perlu dirujuk daripada sumber yang sahih supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat palsu,” katanya.
Sementara itu, seorang peserta, Md Shariff Musa, 63, berkata program seperti ini sangat bermanfaat kerana memberi penjelasan yang tepat mengenai kesihatan dan kepentingan vaksinasi.
Menurutnya, masyarakat perlu mendapatkan maklumat yang betul daripada pihak kesihatan agar tidak terpengaruh dengan dakwaan yang tidak berasas.
Program dilihat meriah dengan kehadiran ibu bapa, kanak-kanak dan masyarakat setempat yang mengambil peluang mendapatkan maklumat kesihatan berkaitan amalan hidup sihat secara terus daripada pihak berkaitan.
-RI






