
Laporan/foto: Farah Shaherza/Basharuddin (Kuantan)
KUANTAN, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Tema ‘Menggerak Belia’ mewarnai Sambutan Semarak Hari Belia Negara (HBN) 2026 Peringkat Daerah Kuantan dengan penyertaan golongan belia dan badan gabungan belia sekitar daerah ini.
‘Menggerak Belia’ mencerminkan peranan belia sebagai penggerak utama pembangunan masyarakat, ekonomi dan kemajuan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan nilai kemanusiaan, kesejahteraan, daya cipta serta ihsan.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuantan, Basyirah Zulkfli berkata, sambutan ini merupakan program tahunan yang berlangsung dari 1 hingga 15 Mei di peringkat daerah.
“Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Pahang ini bertujuan menghimpunkan golongan belia setempat khususnya di sekitar daerah Kuantan.
“Tujuan sambutan ini adalah untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada golongan belia yang menyumbang kepada pembangunan negara, menyediakan platform strategik kepada golongan belia dan menaikkan semangat patriotisme dan kecintaan demi pembangunan belia,” katanya.
Program yang bermula jam 9 pagi tadi di Dewan Al-Farabi, Kolej Poly-Tech MARA Kuantan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Negeri Pahang, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif.
Antara pengisian program ialah tayangan Perutusan Khas Hari Belia Negara 2026, simbolik penyerahan Ikrar Belia Malaysia serta lafaz Ikrar Belia Malaysia bersama wakil badan gabungan belia daerah Kuantan.
-RI





