Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Warna-Warni Niti Daun Satukan Masyarakat Pelbagai Kaum di Bintulu

By 16 Mei 2026Mei 18th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Rudy Jaya (Bintulu)

BINTULU, 16 Mei (MalaysiaAktif) – Lebih 5,000 peserta memeriahkan jalan utama bandar ini, hari ini menerusi Program Niti Daun yang berlangsung sempena sambutan pra Hari Gawai, sekali gus menampilkan keunikan budaya dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Datuk Majang Renggi yang juga penasihat program tahun ini.

Menurut salah seorang peserta, Penghulu Isa Megong, 73, penganjuran program tersebut bukan sahaja mengangkat budaya masyarakat Dayak, malah turut mengeratkan hubungan antara pemimpin, jabatan kerajaan dan rakyat.

“Program seperti ini dapat memperkukuh hubungan masyarakat dengan pemimpin serta jabatan kerajaan khususnya Pejabat Daerah Bintulu selain memupuk semangat saling hormat menghormati dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Penghulu Chabi Nangup, 70, berkata sambutan yang diterima membuktikan Program Niti Daun berjaya menjadi platform penyatuan masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang.

“Program ini bukan hanya untuk masyarakat Dayak, tetapi menjadi ruang untuk semua kaum bersama-sama meraikan budaya dan memperkukuh perpaduan khususnya di Bintulu,” ujarnya.

Program tahunan yang sinonim dengan sambutan Hari Gawai itu menyaksikan penyertaan 73 kontinjen terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, agensi kerajaan dan sektor swasta yang tampil memperagakan pakaian tradisional serta identiti budaya masing-masing.

Perarakan budaya tersebut turut disertai masyarakat Melayu, Melanau dan Cina yang bersama-sama memeriahkan acara, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan toleransi yang kukuh dalam kalangan rakyat negeri ini.

-RJ-

Tinggalkan komen anda