Skip to main content
Berita TempatanSarawak

JKP Masjid Bandar Sri Aman Perkukuh Jalinan Strategik Multisektor

By 17 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Masjid Bandar Sri Aman mengorak langkah proaktif memperkasakan agenda ummah menerusi jaringan kolaboratif lebih meluas bersama pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi JKP Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi berkata, langkah strategik itu diambil bagi memastikan fungsi masjid tidak hanya terhad sebagai tempat ibadat khusus, malah berperanan sebagai pusat sehenti pembangunan sosioekonomi, kebajikan dan penyatuan masyarakat Islam di daerah ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jumaat lepas, selepas menjadi tetamu dalam siaran Sri Aman FM bagi berkongsi mengenai perancangan program pengimarahan masjid dan hala tuju JKP sepanjang tahun 2026.

Turut serta dalam sesi wawancara khas bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu ialah Timbalan Pengerusi Masjid Bandar Sri Aman, Hassan Suhaili dan Imam Bahagian Sri Aman, Ustaz Abang Azman Abang Muhammad dari Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) Sri Aman.

Mengulas lanjut, Azmi berkata pelan perancangan aktiviti sepanjang tahun ini akan dipacu secara lebih dinamik menerusi formula jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak luar bagi mendepani cabaran sosial semasa.

“Tahun 2026 menjadi tahun pengukuhan buat JKP Masjid Bandar Sri Aman dan fokus kami adalah untuk keluar daripada kepompong konvensional dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada agensi kerajaan, sektor swasta, badan berkanun serta NGO untuk berkolaborasi demi kemaslahatan ummah.

“Melalui perkongsian kepakaran, sumber dan dana, lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan,” katanya, kelmarin.

Menurut beliau, antara fokus utama kolaborasi yang sedang dan akan digerakkan merangkumi jalinan bersama agensi kerajaan dalam penganjuran program kesedaran dan seminar pendidikan, selain penglibatan sektor swasta menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dalam pada itu, Azmi menyifatkan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi JKP di konti Sri Aman FM sebagai langkah strategik dalam memanfaatkan media penyiaran tempatan untuk menyebarluaskan maklumat aktiviti masjid secara terus kepada komuniti akar umbi.

“Melalui frekuensi Sri Aman FM, kami dapat mendekati masyarakat secara lebih santai namun berkesan.

“Kami mahu seluruh kariah mengetahui bahawa Masjid Bandar Sri Aman sentiasa terbuka menerima cadangan, sumbangan dan penyertaan aktif daripada semua lapisan masyarakat,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda