
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/ UKAS
ENGKILILI, 17 Mei (MalaysiaAktif) – Kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) Jelukong kini mula beroperasi secara rasmi bagi menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengguna jalan raya selain membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat di kawasan Engkilili.
Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata kemudahan yang dikendalikan oleh Sokanjaya Jabatan Kerja Raya (JKR) itu diyakini mampu meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan pengguna yang melalui laluan utama di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, kewujudan R&R tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada pengguna untuk berehat dengan lebih selesa ketika dalam perjalanan, malah menjadi platform kepada peniaga kecil dan usahawan tempatan menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan.
“Kita menjangkakan lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan pada masa akan datang termasuk penyediaan ruang niaga tambahan bagi jualan hasil pertanian tempatan seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta produk kampung,” katanya kepada Malaysia Aktif selepas mengadakan lawatan pemantauan sempena hari pertama operasi rasmi R&R Jelukong, di sini hari ini.
Lawatan itu turut bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan dan kelancaran pengurusan fasiliti di kawasan berkenaan.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Pegawai Tadbir Pejabat Agama Islam Bahagian Sri Aman, Kamarulzaman Kawi yang menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah positif dalam menyediakan ruang persinggahan mesra pengguna, khususnya kepada pengguna Muslim.
R&R Jelukong dilengkapi lapan gerai perniagaan yang merangkumi tujuh gerai makanan dan minuman serta sebuah kedai runcit yang beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Bagi menjamin keselamatan pengguna, kawasan itu turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan, tandas lelaki dan perempuan serta kawasan parkir yang luas untuk kenderaan persendirian dan pengangkutan awam.
-RJ-





