
Laporan/foto: Azrul Abdullah/Haszril Alias (Padang Terap)
KUALA NERANG, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Tangan yang bersih merupakan benteng pencegahan pertama bagi mencegah pelbagai penyakit berjangkit, kata Pakar Patologi (Mikrobiologi) Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr. Siti Rohani Abdul Hadi.
Beliau berkata kefahaman serta pengukuhan budaya hand hygiene bukan sahaja dalam kalangan petugas barisan hadapan kesihatan malah oleh semua masyarakat perlu sentiasa menjadi matlamat utama.
“Adalah penting untuk kita mencuci tangan dengan teknik yang betul bagi memutuskan rantaian jangkitan penyakit,” katanya pada sesi taklimat Seminar dan Sambutan World Hand Hygiene Day (WHHD) 2026 di Dewan Tunku Putra Kuala Nerang, di sini semalam.
Bertemakan ‘Action Saves Lives‘, program itu menghimpunkan seramai 300 orang kakitangan penjagaan kesihatan serta wakil komuniti setempat di sekitar daerah ini.
Penganjuran WHHD 2026 dilihat sebagai satu inisiatif proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Hospital Kluster Kedah Utara (HOKKU) dalam merapatkan jurang antara fasiliti kesihatan dan komuniti, sekali gus membudayakan amalan kebersihan diri demi kelestarian kesihatan bersama.
-RI





