
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini merupakan satu keperluan kritikal dalam kalangan belia.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata ia bukan lagi sesuatu yang bersifat pilihan dalam usaha memastikan belia tempatan kekal kompetitif di peringkat global.
Menurutnya Program Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) MADANI 2025 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), di sini semalam mampu menjadi platform terbaik mempersiap generasi muda mendepani cabaran transformasi digital secara beretika.
Hampir 100 orang peserta telah menghadiri program berkenaan yang dilaksanakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sri Aman dan Sarawak Skills Sri Aman sebagai rakan pelaksana itu.
“Saya amat berbangga melihat komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh anak-anak muda kita hari ini kerana penglibatan aktif mereka dalam program ini merupakan simbol sokongan padu terhadap pembangunan bakat belia dan agenda transformasi digital negara.
“Melalui pendedahan awal sebegini, kita bukan sahaja melahirkan generasi yang mahir teknologi, malah membentuk pemimpin masa depan yang mampu memacu ekonomi digital Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika menyempurnakan majlis penutupan program tersebut, di sini semalam.
Peserta telah didedahkan dengan pelbagai aplikasi AI seperti ChatGPT, Gemini AI, NotebookLM, Snorkl dan Claude AI bagi meningkatkan produktiviti, kreativiti serta kemahiran digital mereka.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri menegaskan bahawa institusi latihan dan pendidikan perlu sentiasa dinamik dalam menyalurkan ilmu berpaksikan teknologi masa hadapan kepada generasi muda.
“Sarawak Skills sentiasa komited dalam menyokong usaha murni ini dan pihak kami amat mengalu-alukan pelaksanaan program seumpama ini kerana ia menjadi pemangkin utama dalam memperkasakan generasi muda dengan kemahiran digital yang relevan dengan kehendak industri masa kini.
“Kita mahu para pelajar dan lepasan sekolah menggunakan kelebihan teknologi AI ini sebagai alat bantuan pembelajaran yang positif untuk meningkatkan produktiviti dan inovasi diri mereka,” jelas beliau ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.
-RJ-





