
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor
SEGAMAT, 18 Mei (MalaysiaAktif) – Sebuah syarikat kitar semula, Rainbow Metal Recycle Sdn. Bhd., didenda keseluruhan RM330,000 oleh Mahkamah Sesyen Segamat selepas mengaku bersalah atas kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pada 23 Januari 2025.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr. Mohd Famey Yusoff, berkata pengurus syarikat tersebut, Paramasivam Krishnan turut dijatuhi hukuman penjara sehari selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Rahimah Abd Majid.
Menurut beliau, syarikat berkenaan berdepan enam pertuduhan manakala Paramasivam berusia 44 tahun pula berdepan dua pertuduhan berkaitan pengurusan haram buangan terjadual kod SW102 iaitu buangan bateri asid plumbum di Mukim Buloh Kasap, di sini.
“Pihak industri dan masyarakat diingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“JAS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti kitar semula buangan terjadual tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan lesen sah kerana ia berisiko tinggi mencemarkan alam sekitar serta mengancam kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata orang awam turut diseru supaya melaporkan sebarang aktiviti pencemaran alam sekitar melalui talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari, emel [email protected] atau portal e-Aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.
-AA-





