
Laporan/foto:Manjin Arak/Florinah Lunsin (Kudat)
Kudat, 22 Mei (MalaysiaAktif)– Balat atau lintah laut serta kuda laut kering kini menjadi antara tarikan utama di Pasar Biru Pekan Kudat apabila hasil laut eksotik itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung tempatan dan luar daerah.
Di sebalik deretan gerai yang menjual ikan masin, buah-buahan dan sayur-sayuran segar, usahawan tempatan, Maya Arshad, 36, tidak menang tangan melayan pelanggan yang ingin mendapatkan produk berasaskan hasil laut berkenaan.
Menurutnya, balat dan kuda laut kering mempunyai permintaan tersendiri kerana dipercayai berkhasiat selain digunakan dalam masakan serta perubatan tradisional.
“Ramai pelanggan sanggup datang dari jauh kerana produk ini sukar diperoleh di tempat lain.
“Walaupun harganya agak mahal, permintaannya masih tinggi kerana ada yang percaya ia mempunyai manfaat tertentu untuk kesihatan,” katanya ketika ditemui di gerainya, hari ini.
Maya berkata, kebanyakan bekalan diperoleh daripada pembekal tempatan sebelum diproses secara teliti bagi memastikan kebersihan dan ketahanan produk sentiasa terjamin.
“Penjualan hasil laut eksotik itu juga memerlukan permit dan lesen sah daripada pihak berkuasa bagi memastikan produk dipasarkan mematuhi peraturan ditetapkan,” ujarnya.
Kehadiran gerai berkenaan menambah keunikan Pasar Biru Pekan Kudat yang sememangnya terkenal sebagai lokasi tumpuan pelbagai hasil laut dan produk segar tempatan.
-RJ-





