
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
BACHOK, 23 Mei (MalaysiaAktif) – Persembahan layang-layang oleh peserta antarabangsa menjadi tarikan utama Pesta Wau Kebangsaan Kelantan Ke-43 apabila ruang udara di Pantai Irama dihiasi dengan pelbagai bentuk dan warna layang-layang gergasi menyerlahkan keindahan seni udara bertaraf dunia.
Penyertaan peserta luar negara bukan sahaja menampilkan kreativiti dan kepelbagaian seni budaya daripada pelbagai latar belakang, malah turut memperkaya penganjuran pesta wau yang sinonim dengan identiti negeri Kelantan melalui keunikan reka bentuk serta teknik penerbangan layang-layang antarabangsa yang berjaya mencuri tumpuan pengunjung tempatan dan pelancong.
Salah seorang pengunjung, Ramlah Daud, 54, berkata penganjuran pesta wau pada tahun ini disifatkan lebih meriah dengan kehadiran pengunjung yang semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Saya datang bersama keluarga dan suasananya sangat meriah. Persembahan layang-layang dari luar negara benar-benar menarik perhatian,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Nur Nadiah Musaddeq, 29, berkata pengalaman menyaksikan persembahan tersebut secara langsung buat pertama kali amat bermakna dan memberi pendedahan baharu mengenai seni layang-layang antarabangsa.
“Pengalaman ini sangat menyeronokkan dan sukar dilupakan. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan agar seni permainan seperti ini terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda,” ujarnya.
Penyertaan antarabangsa dalam pesta wau ini sekali gus mengangkat Kelantan sebagai destinasi seni budaya yang berpotensi menarik perhatian masyarakat dunia.
-AA-





