
Laporan/foto: Victor Blasius (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 25 Mei (MalaysiaAktif)– Pengurusan inap desa yang berkualiti dilihat mampu untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan di Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata pengusaha inap desa perlu diberi pendedahan berkaitan pengurusan yang sistematik bagi memastikan perkhidmatan ditawarkan memenuhi kehendak pelancong.
“Sabah memiliki potensi besar dalam industri pelancongan menerusi keunikan alam semula jadi, budaya dan warisan yang mampu menarik kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa.

Mustapha Sakmud menyampaikan ucapan sebelum merasmikan Kursus Pengurusan Homestay di NADI Bandar Putra.
“Pengurusan inap desa yang baik membantu memperkukuh imej pelancongan Sabah. Oleh itu, aspek pengurusan perlu diberi perhatian supaya pelancong memperoleh pengalaman yang positif sepanjang berada di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengurusan Homestay anjuran Persatuan Sukarelawan dan Kebajikan Wanita Sabah (UKKWA) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Bandar Putra, di sini kelmarin.
Sementara itu, peserta kursus, Jamaluddin Moksan, 62, berkata kursus berkenaan memberi manfaat khususnya kepada individu yang baru menceburi bidang pengurusan inap desa.

Jamaluddin Moksan menunjukkan sijil penyertaan yang diterimanya selepas menghadiri Kursus Pengurusan Homestay di NADI Bandar Putra.
“Banyak ilmu yang saya peroleh sepanjang kursus ini dan ia sangat membantu untuk menambah pengetahuan dalam pengurusan homestay.
“Kalau ada lagi kursus seperti ini pada masa akan datang, saya memang mahu sertai kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya.
-RJ-





