
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)/IPD Sri Aman
SRI AMAN, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman mengadakan Program Ziarah dan Penyampaian Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Tanpa Istiadat kepada tujuh pesara polis serta waris di sekitar daerah ini hari ini.
Program yang berlangsung Jam 3 petang tadi disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Sri Aman Superitendan Dennis Bunyam menerusi kunjungan dari rumah ke rumah bersama keluarga penerima.
Menurut Dennis, pendekatan penyampaian tanpa istiadat itu mencerminkan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyampaikan penghargaan secara lebih dekat kepada penerima.
“Pesara polis merupakan individu yang telah banyak berjasa kepada negara dan keamanan masyarakat. Walaupun menamatkan perkhidmatan, jasa mereka tetap dikenang serta dihargai pasukan.
“Program ini membuktikan PDRM sentiasa mengambil berat kebajikan dan menghargai sumbangan pesara serta waris anggota polis,” katanya ketika ditemui selepas program tersebut hari ini.
Dennis berkata, PJPN merupakan simbol penghormatan negara kepada anggota pasukan keselamatan yang telah berkhidmat dengan penuh semangat patriotisme.
Pendekatan ziarah dari rumah ke rumah turut memberi ruang kepada pihak polis mendekati pesara dan waris selain memperkukuh hubungan silaturahim antara warga PDRM dengan bekas anggota pasukan.
“Kita mahu bekas anggota dan waris mengetahui bahawa mereka tidak pernah dilupakan kerana pengorbanan mereka menjadi asas kepada keamanan yang dinikmati rakyat hari ini,” katanya.
-RJ-





