
Laporan/foto: Rinta Engkamat (Kanowit)
KANOWIT, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 100 penerima bantuan diraikan dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 di sini hari ini sebagai usaha menyantuni masyarakat sempena sambutan Hari Gawai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah Anyi Jana ketika merasmikan majlis berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Beliau menyeru masyarakat agar terus mengekalkan semangat kasih sayang dan amalan Segulai Sejalai dalam memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Semangat kebersamaan dan saling membantu perlu terus dipupuk terutama ketika musim perayaan supaya keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sibu Uwieng Gimos berkata, program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu diadakan khusus bagi meraikan penerima bantuan JKM terutama masyarakat Iban.
Menurut Uwieng, sambutan Hari Gawai menjadi medium mengukuhkan hubungan kekeluargaan serta perpaduan dalam komuniti.
“Melalui program seperti ini, kita dapat menyampaikan sumbangan selain berkongsi kegembiraan dan menyantuni masyarakat agar tiada yang merasa terpinggir ketika musim perayaan,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan penyerahan bantuan alat tiruan dan sokongan seperti alat bantu pendengaran serta kad Orang Kurang Upaya (OKU) secara sekali beri kepada penerima yang layak.
Program tersebut diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan golongan memerlukan menerima manfaat sewajarnya.
-RJ-





