
Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 4 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 103 pelajar anak eKasih dari Daerah Tanah Merah dan Jeli yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 menerima sumbangan sebuah komputer riba serta bantuan awal ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bernilai RM1,000 setiap seorang.
Program tersebut dilaksanakan sebagai usaha meringankan beban kewangan keluarga selain memastikan pelajar mempunyai kemudahan pembelajaran digital bagi menghadapi cabaran pendidikan di peringkat lebih tinggi.
Menurut Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU JPM) Negeri Kelantan Dr. Wan Nur Ibtisam Wan Ismail, inisiatif berkenaan selari dengan keperluan pendigitalan pendidikan yang semakin meluas di institusi pengajian dan alam pekerjaan.

Pelajar cemerlang yang berdaftar di bawah sistem eKasih menyifatkan dapat mengurangkan beban kewangan keluarga yang kurang berkemampuan.
“Pembelajaran yang baik akan melahirkan pencapaian cemerlang, seterusnya membolehkan pelajar menyumbang semula kepada keluarga dan masyarakat bagi meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan tersebut, di sini semalam.
Tegasnya, sumbangan komputer riba itu bukan sekadar bantuan jangka pendek, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara.
Sementara itu, antara penerima, Wan Nazreen Nisha Wan Nasir, 20, pelajar bidang Asasi Sains di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Siti Nur Balqis Mohd Zaki, 19, pelajar Diploma Perikanan, menyifatkan bantuan tersebut amat bermakna dan membantu melancarkan urusan pengajian mereka.
Program eKasih merupakan inisiatif Kerajaan MADANI yang mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan pelajar daripada latar belakang ekonomi mencabar.
-RI







