Skip to main content
Rencana & Pendapat

Jambatan Batang Lupar 1 Indah Dibina, Jangan Dicemari Sampah

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)

SRI AMAN, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Jambatan Batang Lupar 1 yang menjadi mercu tanda baharu kebanggaan Sarawak bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah turut muncul sebagai tarikan baharu kepada pengunjung yang ingin menikmati panorama Sungai Batang Lupar.

Dibina dengan kos RM848.7 juta menggunakan dana Kerajaan Sarawak, jambatan tersebut melambangkan kemajuan pembangunan infrastruktur negeri dan memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat.

Namun, keindahan serta nilai estetika jambatan berkenaan mula tercemar akibat sikap segelintir individu yang membuang sampah di kawasan awam termasuk lokasi persinggahan di sepanjang laluan jambatan.

Hasil pemerhatian MalaysiaAktif dan maklum balas pengguna mendapati terdapat sampah sarap seperti bungkusan makanan, bekas minuman serta botol plastik yang ditinggalkan di beberapa lokasi, sekali gus menjejaskan pemandangan dan keselesaan pengunjung.

Seorang pengguna jalan raya, Awang Anuar Awang Lamudin, 62, meluahkan rasa kecewa terhadap keadaan tersebut ketika melalui jambatan berkenaan dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Sebuyau.

“Perjalanan kini menjadi lebih cepat dan selesa. Namun, apa yang menyedihkan, sepanjang laluan jambatan terutama di kawasan tengah, terdapat banyak sampah bekas makanan dan minuman yang ditinggalkan oleh pengunjung,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.

Menurut beliau, kemudahan yang disediakan kerajaan seharusnya dihargai dan dipelihara bersama agar terus memberi manfaat kepada masyarakat dalam keadaan bersih, selesa dan selamat.

“Jambatan ini dibina dengan kos yang tinggi untuk kegunaan rakyat, maka saya berharap semua pihak lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan supaya kemudahan ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.

Tindakan tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata bukan sahaja menjejaskan imej kawasan setempat, malah boleh memberi persepsi negatif kepada pelawat luar dan pelancong yang berkunjung ke Sarawak.

Sehubungan itu, isu kebersihan di Jambatan Batang Lupar 1 perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat.

Kemajuan fizikal yang dikecapi negeri akan lebih bermakna sekiranya disertai dengan kesedaran sivik yang tinggi serta sikap menghargai kemudahan awam demi kesejahteraan bersama.

-FN

Tinggalkan komen anda