Skip to main content
Rencana & Pendapat

Sembang Kopi: Ruang Santai Kongsi Cerita, Redakan Tekanan Jiwa

By 26 Mei 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini

KANGAR, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Dalam dunia yang semakin sibuk dan sarat dengan tekanan harian, budaya “sembang kopi” kini bukan lagi sekadar aktiviti santai untuk mengisi masa lapang, sebaliknya menjadi ruang sosial penting bagi masyarakat berkongsi cerita, meluahkan rasa dan menenangkan emosi.

Di Perlis yang terkenal dengan suasana tenang dan damai, amalan berkumpul di kafe atau warung kopi semakin menjadi kebiasaan terutama dalam kalangan anak muda serta golongan bekerja yang mencari ruang untuk “berehat seketika” daripada rutin harian.

Suasana santai, alunan muzik lembut dan ruang yang selesa menjadikan lokasi sebegini tempat sesuai untuk berbual, bertukar pandangan dan melepaskan tekanan selepas seharian bekerja.

Antara lokasi yang sering menjadi pilihan masyarakat ialah Qonaco Kangar yang terkenal dengan konsep moden minimalis dan suasana “cozy”, selain Pixa Cafe yang menawarkan dekorasi estetik serta ruang santai untuk bekerja dan berbual.

Sechaone Coffee pula cukup popular dalam kalangan pencinta kopi dan anak muda terutama pada waktu malam, manakala Oven Rimba Cafe menjadi pilihan mereka yang menggemari suasana lebih tenang dan dekat dengan elemen alam semula jadi yang memberi “healing vibes”.

Bagi seorang pesara kerajaan, Ruslalili Yahaya, 60, budaya sembang kopi sebenarnya memberi ruang kepada masyarakat untuk “bernafas seketika” daripada tekanan kehidupan harian.

“Kadang-kadang orang datang minum kopi bukan sebab lapar atau dahaga semata-mata, tapi sebab nak cari ketenangan. Bila dapat duduk sembang santai dengan kawan-kawan, rasa tekanan itu berkurang sikit.

“Perkara kecil macam ini sebenarnya baik untuk emosi dan mental kita,” katanya ketika ditemui di sebuah kafe di sini, baru-baru ini.

Menurut beliau, masyarakat hari ini terlalu sibuk dengan telefon pintar dan urusan kerja sehingga semakin kurang meluangkan masa berbual secara bersemuka.

Justeru, budaya sembang kopi dilihat sebagai antara cara paling mudah untuk mengeratkan hubungan sosial selain membantu seseorang merasa tidak keseorangan ketika berdepan tekanan hidup.

Pada masa sama, pakar psikologi turut melihat kewujudan ruang sosial seperti kafe sebagai “third place” penting selain rumah dan tempat kerja.

Persekitaran santai dan tidak formal membantu seseorang lebih mudah membuka perbualan, berkongsi emosi serta meningkatkan keyakinan diri ketika berinteraksi dengan orang lain.

Menurut laman web psychologytoday.com, interaksi ringkas seperti berbual dengan kenalan biasa termasuk barista, jiran atau rakan sekerja sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan kesejahteraan emosi yang lebih baik.

Artikel tersebut menjelaskan bahawa manusia tidak semestinya memerlukan perbualan mendalam setiap masa untuk merasa dihargai dan mempunyai hubungan sosial dengan komuniti sekeliling.

Malah, kajian yang dikongsikan dalam artikel itu mendapati pelanggan kedai kopi yang berinteraksi secara mesra dengan barista menunjukkan mood lebih positif berbanding individu yang memilih interaksi minimum.

Perbualan kecil seperti bertanya khabar atau berbual santai membantu mewujudkan rasa kebersamaan selain mengurangkan rasa terasing dalam kehidupan harian.

Antara kata-kata yang dikongsikan dalam artikel tersebut ialah, “Interacting with weak ties is associated with greater well-being,” yang membawa maksud interaksi bersama kenalan biasa mempunyai kaitan dengan kesejahteraan hidup yang lebih baik.

Hakikatnya, kadangkala secawan kopi dan sedikit ruang untuk berbual sudah cukup untuk membuatkan seseorang merasa lebih tenang, dihargai dan didengari.

-FN

Tinggalkan komen anda