Skip to main content
Rencana & Pendapat

Di Sebalik Aidiladha: Erti Pengorbanan Dalam Diam

By 26 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aini/BERNAMA

KANGAR, 26 Mei (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Raya Aidiladha bukan sekadar berkaitan ibadah korban dan pengagihan daging semata-mata, sebaliknya membawa makna yang lebih besar mengenai nilai pengorbanan, keikhlasan dan ketaatan kepada Allah SWT.

Di sebalik sambutan yang diraikan setiap tahun, Aidiladha sebenarnya mengingatkan manusia bahawa pengorbanan hadir dalam pelbagai bentuk, termasuk dalam kehidupan seharian yang sering dilalui tanpa disedari.

Ramai insan berkorban dalam diam demi keluarga dan insan tersayang walaupun diri sendiri sedang berdepan pelbagai kesusahan serta beban kehidupan yang tidak terungkap.

Ada ibu bapa yang sanggup mengetepikan kehendak sendiri demi memastikan anak-anak hidup lebih sempurna, ada pasangan yang terus bertahan mempertahankan rumah tangga ketika diuji kesempitan hidup, malah ramai individu tetap mengukir senyuman walaupun hati sedang menanggung kesakitan.

Hakikatnya, pengorbanan paling besar bukan selalu diukur melalui harta atau wang ringgit, tetapi melalui keikhlasan hati seseorang yang tetap memilih untuk memberi ketika dirinya sendiri sedang diuji.

Kisah Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS pula menjadi lambang pengorbanan dan ketaatan tertinggi kepada Allah SWT yang terus dijadikan pedoman umat Islam sehingga hari ini.

Peristiwa tersebut memperlihatkan betapa besarnya nilai kepatuhan seorang hamba terhadap perintah Allah SWT, meskipun terpaksa berhadapan ujian yang sangat berat.

Rasulullah SAW juga bersabda, “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat” menerusi hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim.

Menurut penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-100, hadis tersebut menjelaskan bahawa setiap amalan manusia dinilai berdasarkan niat serta keikhlasan hati seseorang.

Selain itu, Rasulullah SAW turut bersabda bahawa tiada amalan pada hari Aidiladha yang lebih dicintai Allah SWT selain ibadah korban menerusi hadis riwayat Imam al-Tirmizi.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad al-Hadith Siri ke-211 menjelaskan bahawa ibadah korban merupakan antara syiar penting dalam Islam yang melambangkan ketaatan, keikhlasan dan pengorbanan seorang hamba kepada Allah SWT.

Aidiladha juga mengajar manusia supaya lebih memahami penderitaan orang lain, menghargai keluarga serta mengeratkan hubungan sesama insan.

Kadangkala, insan yang paling banyak berkorban ialah mereka yang paling sedikit bercerita tentang kesakitannya. Namun, setiap pengorbanan yang lahir daripada hati yang ikhlas tetap mempunyai nilai yang besar di sisi Allah SWT.

-FN

Tinggalkan komen anda