
Laporan/foto: Sumardi Sugiman (Limbang)
LIMBANG, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Dua permohonan projek di daerah ini akan dipertimbangkan untuk dilaksanakan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) atau Projek Kecil Luar Bandar (MRP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota pada tahun hadapan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata projek tersebut ialah pembinaan jambatan merentasi Sungai Berawan ke Jalan Kebun Rumah Panjang serta pembinaan jalan kebun di kawasan Jalan Kubong Berawan Buloh.
“Sementara itu, projek pembinaan jalan menuju ke tanah perkuburan di kawasan berkenaan juga kini hampir siap dan dijangka memberi kemudahan kepada penduduk apabila siap sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai 2026 di Rumah Imau, Jalan Kubong Berawan Buloh, di sini semalam.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata penganjuran Majlis Ngiling Bidai terus memainkan peranan penting dalam memelihara warisan budaya masyarakat Iban serta memperkukuh jati diri generasi muda.
Katanya, penglibatan belia dalam jawatankuasa penganjur memberi peluang kepada mereka mengasah kemahiran pengurusan acara, komunikasi dan kepimpinan komuniti selain mempelajari adat serta seni persembahan tradisional secara langsung daripada generasi terdahulu.
“Program ini memberi ruang dan peluang kepada golongan belia mempelajari tatacara adat serta seni persembahan tradisional secara langsung daripada generasi terdahulu, sekali gus memastikan warisan turun-temurun terus dipelihara,” katanya.
-FN





