
Laporan/foto: Aishah Latip (Lundu)/LAKIL
TELOK MELANO, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Masjid Al-Sultan Abdullah mencatat detik bersejarah apabila berjaya melaksanakan Solat Jumaat, Khutbah Jumaat pertama hari ini selepas menerima kelulusan rasmi Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
Pelaksanaan tersebut memberi kemudahan kepada penduduk setempat menunaikan ibadah tanpa perlu melakukan perjalanan jauh ke kawasan lain.
Pengunjung, Mohd Hazizan Hakim, 37, melahirkan rasa syukur atas pelaksanaan solat berkenaan di masjid tersebut.
“Ini merupakan satu sejarah besar buat penduduk Telok Melano kerana sebelum ini, kami hanya mampu menunggu, berharap agar masjid ini mendapat kebenaran untuk melaksanakan Solat Jumaat,” katanya.
“Saya berharap Masjid Al-Sultan Abdullah akan terus berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat serta dipenuhi dengan aktiviti keagamaan, kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada generasi akan datang,” katanya lagi ketika ditemui di masjid itu, di sini hari ini.
Masjid Al-Sultan Abdullah turut menjadi antara tarikan pelancongan utama di kawasan berkenaan yang terkenal sebagai titik paling barat Sarawak, pintu masuk sempadan Malaysia-Indonesia.
Pengerusi Masjid Al-Sultan Abdullah, Hamdan Jar’ee memimpin pelaksanaan solat tersebut, menyampaikan khutbah Jumaat.
Kira-kira 250 jemaah hadir terdiri daripada penduduk setempat, pengunjung dari Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, pelancong dari Temajok, Indonesia.
-RJ-





