
Laporan/foto: Mohd Taufiq/Muhamad Husni (Kubang Pasu)
KUBANG PASU, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Program Brisk Walk Pengguna Sihat anjuran Gerakan Pengguna Daerah (GPD) Kubang Pasu menjadi platform berkesan dalam membudayakan gaya hidup sihat serta memperkasakan masyarakat dengan ilmu kepenggunaan, sekali gus melahirkan pengguna yang lebih bijak, berinformasi dan berdaya saing.
Program yang berlangsung di Tasik Darulaman, Jitra itu memberi manfaat kepada lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli GPD Kubang Pasu, wakil Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Kedah serta peserta jemputan dari beberapa daerah sekitar.
Salah seorang ahli Skuad Kita Pengguna, Faris Othman, 41, berkata program itu bukan sahaja memberi peluang kepada peserta melakukan aktiviti riadah yang menyihatkan, malah turut menyediakan pelbagai pengisian berbentuk advokasi kepenggunaan dan khidmat komuniti.
“Selain aktiviti brisk walk yang menyihatkan, program ini turut memberi pelbagai manfaat kepada peserta dan masyarakat setempat melalui sesi advokasi aplikasi Price Catcher, pendaftaran Skuad Kita Pengguna serta pemeriksaan kesihatan yang disediakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu,” ujarnya ketika ditemui kelmarin.
Antara pengisian utama program ialah sesi penerangan mengenai aplikasi Price Catcher bagi membantu pengguna membuat perbandingan harga barangan keperluan harian dengan lebih bijak, selain membuka peluang kepada peserta untuk mendaftar sebagai ahli Skuad Kita Pengguna bagi memperkukuh jaringan sukarelawan kepenggunaan di peringkat komuniti.
-AA-




