
Laporan/foto: Rose Ryqal (Kuala Langat)
KUALA LANGAT, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Sambutan ulang tahun ke-100 Kampung Jenjarom merupakan penghargaan terhadap sejarah, warisan serta perjuangan masyarakat yang telah membangunkan kampung berkenaan sehingga menjadi sebuah komuniti yang maju, harmoni dan berdaya saing, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata demikian ketika hadir memeriahkan Karnival Sambutan 100 Tahun Kampung Jenjarom yang berlangsung meriah dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat setempat.

Timbalan Perdana Menteri menandatangani buku pelawat sebagai simbolik penghargaan terhadap sejarah dan perkembangan kampung berkenaan sambil diperhati Pegawai Daerah Kuala Langat.
“Program seumpama itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, malah menyemarakkan semangat perpaduan serta memupuk rasa cinta terhadap warisan dan identiti setempat yang menjadi kebanggaan masyarakat,” katanya, di sini kelmarin.
Sepanjang program, Ahmad Zahid turut meluangkan masa meninjau pameran sejarah Kampung Jenjarom, beramah mesra dengan pengunjung serta menandatangani buku pelawat sebagai simbolik penghargaan terhadap sejarah dan perkembangan kampung tersebut.
Turut mengiringi beliau ialah Pegawai Daerah Kuala Langat, YM Tengku Rohana Tengku Nawawi bersama barisan pemimpin masyarakat serta pegawai agensi kerajaan.
Karnival 100 Tahun Kampung Jenjarom berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad bagi memperingati sejarah penubuhan kampung itu serta menghargai sumbangan generasi terdahulu dalam membangunkan komuniti yang terus berkembang hingga ke hari ini.
-RI




