Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Program Kesepaduan Nasional Himpun Masyarakat Pelbagai Kaum di Tumpat

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)

TUMPAT, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Program Kesepaduan Nasional @ Tumpat menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan kaum serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan negara dalam kalangan masyarakat.

Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan yang berlangsung di Wat Machimmaram, Jubakar itu berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum menerusi pelbagai aktiviti berteraskan perpaduan dan keharmonian.

Ketua Pengarah MKN, Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin, berkata program berkenaan bertujuan menyemarakkan perpaduan serta memperkukuh hubungan antara kaum sebagai asas kepada kedaulatan dan keselamatan negara.

“Tanggungjawab menjaga keselamatan bukan hanya dipikul oleh polis, tentera atau penguat kuasa, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut, kelmarin.

Program yang berlangsung dari 8 pagi hingga 2 petang itu turut diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya Kuiz Kahoot! Kenegaraan, sukan rakyat, Jualan Rahmah, Taklimat Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta sesi dialog bertajuk Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama: Perpaduan Nadi Keselamatan.

Selain itu, pengunjung turut disajikan dengan persembahan kebudayaan, iringan gendang Siam, cabutan bertuah serta peluang mengunjungi reruai pameran pelbagai agensi yang mengambil bahagian.

Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta memperkukuh keselamatan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

-AA-

Tinggalkan komen anda