
Laporan/foto: Aiman Alimin (Kelantan)
TUMPAT, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Isu keselamatan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand terus diberi perhatian serius oleh kerajaan persekutuan melalui pendekatan menyeluruh yang mengimbangi aspek penguatkuasaan keselamatan dan kebajikan ekonomi penduduk setempat.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin, berkata usaha merobohkan struktur jeti haram di kawasan sempadan merupakan langkah penting bagi mengekang aktiviti penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan negara.
Beliau memaklumkan, sehingga 29 April lalu sebanyak 91 jeti haram berstruktur telah dirobohkan daripada keseluruhan 213 jeti yang dikenal pasti.
Menurut beliau, fokus utama kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada aspek keselamatan, malah turut memberi perhatian kepada usaha menyokong dan membantu ekonomi masyarakat tempatan yang terkesan akibat pelaksanaan tindakan tersebut.
“Fokus utama ialah bagaimana kita mahu menyokong dan membantu ekonomi masyarakat tempatan yang terkesan,” katanya ketika ditemui pada Program Kesepaduan Nasional @ Tumpat, kelmarin.
Beliau menegaskan pendekatan bersepadu antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan keseimbangan antara kawalan sempadan dan kelangsungan ekonomi komuniti setempat, sekali gus memperkukuh keselamatan sempadan negara serta menjamin kesejahteraan rakyat di kawasan berkenaan.
-AA-




