
Laporan/foto: Nurshani Amsain (Sarawak)
KUCHING, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Amalan tahnik bagi menyambut kelahiran bayi terus menjadi tradisi masyarakat Muslim sebagai usaha menghidupkan sunnah Rasulullah SAW serta memohon keberkatan buat anak baru dilahirkan.
Tahnik lazimnya dilaksanakan bersempena majlis cukur jambul, doa selamat yang turut menghimpunkan ahli keluarga dalam suasana penuh kesyukuran.
Orang awam, Abang Shahrizin Hairi Abang Ali, 30, berkata pengalaman mentahnik anak sulungnya merupakan detik yang amat bermakna buat beliau, keluarga.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk melaksanakan sunnah tahnik kepada anak saya,” katanya.
“Majlis ini bukan sekadar adat, tetapi satu ibadah yang memberi makna mendalam kepada kami sekeluarga,” katanya lagi ketika ditemui pada majlis tersebut, di sini hari ini.
Menurut Abang Shahrizin Hairi, majlis tersebut turut memberi peluang kepada ahli keluarga untuk berkumpul, bersama-sama mendoakan kesejahteraan bayi, sekali gus mengukuhkan hubungan kekeluargaan.
“Melalui majlis seperti ini, hubungan silaturahim dapat diperkukuh kerana saudara-mara, rakan-rakan berpeluang berkumpul serta berkongsi kegembiraan menyambut kehadiran ahli baharu dalam keluarga,” jelasnya.
-RJ-




